Hutan Simpan Sabal Catat Rekod Malaysia, 31,260 Anak Pokok Berjaya Ditanam
KUCHING: Usaha pemulihan hutan di Hutan Simpan Sabal mencatat rekod Malaysia apabila 31,260 anak pokok daripada 82 spesies asli yang tersenarai dalam IUCN Red List berjaya ditanam dalam tempoh setahun.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, berkata pencapaian tersebut memperlihatkan komitmen Jabatan Hutan Sarawak dalam memperkukuh usaha pemulihan hutan serta pemeliharaan biodiversiti di negeri ini.
“Usaha pemulihan hutan di Hutan Sabal telah mencatat rekod Malaysia apabila sebanyak 31,260 anak pokok daripada 82 spesies asli yang tersenarai dalam IUCN Red List berjaya ditanam dalam tempoh setahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Hutan Sarawak di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, pencapaian tersebut menjadi antara perkembangan penting dalam usaha pemulihan dan pemeliharaan hutan Sarawak, khususnya menerusi penanaman semula spesies asli bagi menyokong kelestarian ekosistem.
Usaha berkenaan turut melengkapkan Kempen Penghijauan Sarawak yang diperluas menerusi penanaman semula pokok secara berskala mega sebagai salah satu daripada enam agenda utama Jabatan Hutan Sarawak bagi 2026.
Datu Hamden berkata, Sarawak sebelum ini turut merekodkan pencapaian penanaman sebanyak 60,709,000 pokok menerusi Kempen Penghijauan Malaysia, yang merupakan jumlah tertinggi di Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen negeri dalam memperluas kawasan hijau dan memulihkan ekosistem.
Katanya, usaha pemulihan hutan dan penghijauan akan terus diperkukuh bagi memastikan sumber hutan serta biodiversiti Sarawak kekal terpelihara untuk generasi akan datang.-EDISI UKAS