Sarawak Perkukuh Kepakaran Tempatan Dalam Teknologi Perhutanan
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang teknologi dan pengurusan hutan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pengetahuan serta teknologi yang dibangunkan pihak luar.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata kerjasama dengan institusi penyelidikan, universiti, industri dan rakan antarabangsa perlu dimanfaatkan untuk membangunkan keupayaan anak Sarawak dalam menguasai teknologi berkaitan.
“Kerjasama tersebut perlu akhirnya membina kepakaran anak Sarawak sendiri supaya negeri ini tidak selama-lamanya bergantung kepada teknologi dan pengetahuan yang dibangunkan pihak lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penghargaan Pesara Jabatan Hutan Sarawak di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, pembangunan kepakaran tempatan penting selaras dengan perubahan sektor perhutanan yang kini semakin bergantung kepada teknologi, data dan pendekatan pengurusan moden.
Katanya, Jabatan Hutan Sarawak perlu terus memperkukuh keupayaan warga kerjanya supaya kemajuan teknologi dapat dimanfaatkan secara berkesan dalam pengurusan sumber hutan negeri.
Dalam majlis sama, 93 pegawai Jabatan Hutan Sarawak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2026 bagi penilaian tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen, integriti, profesionalisme dan prestasi tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab.
Sementara itu, 53 pegawai Jabatan Hutan Sarawak yang akan bersara pada 2026 turut menerima penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, berkata kesinambungan tenaga kerja turut diperkukuh dengan 78 pegawai baharu yang telah melaporkan diri untuk menyertai jabatan setakat 31 Ogos 2026.
Daripada jumlah tersebut, 26 merupakan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, manakala 51 lagi terdiri daripada Kumpulan Pelaksana dan Sokongan.
Perkembangan itu memperlihatkan kesinambungan pembangunan modal insan Jabatan Hutan Sarawak ketika negeri terus memperkukuh pengurusan hutan berasaskan teknologi, kepakaran dan pendekatan moden.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Controller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Datu Jack Liam, Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datu Zainal Abidin Abdullah serta Pengurus Besar, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran.-EDISI UKAS