Sarawak Perluas Nilai Ekonomi Hutan, Tidak Lagi Bergantung Kepada Hasil Kayu
KUCHING: Sarawak perlu memperluas nilai ekonomi sumber hutannya dengan tidak lagi melihat hutan semata-mata dari sudut pengeluaran hasil kayu, sebaliknya meneroka potensi hasil hutan bukan kayu, perkhidmatan ekosistem, karbon, biodiversiti dan ekopelancongan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata pendekatan tersebut penting bagi memastikan kekayaan hutan negeri terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baharu secara mampan.
“Sarawak tidak mahu sekadar dikenali sebagai sebuah wilayah yang kaya dengan sumber, tetapi mahu dikenali sebagai sebuah wilayah yang mempunyai keupayaan, kepakaran dan institusi untuk mengurus kekayaan kita secara bertanggungjawab serta menjadikannya asas kepada pertumbuhan ekonomi baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Hutan Sarawak di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, pengurusan hutan pada masa kini perlu mengambil kira peranan lebih luas hutan sebagai khazanah biodiversiti, penyimpan karbon, kawasan tadahan air, sumber kehidupan masyarakat serta benteng semula jadi dalam menghadapi perubahan iklim.
Katanya, potensi baharu tersebut perlu diterokai secara lebih strategik bagi memastikan pembangunan ekonomi tidak menjejaskan kelestarian sumber semula jadi yang menjadi aset penting Sarawak.
Dalam masa sama, beliau berkata pembangunan hasil hutan bukan kayu perlu terus diperkasakan, khususnya dalam memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat luar bandar melalui peluang pendapatan dan pembangunan perusahaan berasaskan sumber tempatan.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak dengan institusi penyelidikan, universiti, industri serta rakan antarabangsa bagi membangunkan teknologi dan kepakaran yang bersesuaian dengan keperluan negeri.
Menurutnya, Sarawak perlu membina kepakaran anak tempatan agar transformasi sektor perhutanan tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi dan pengetahuan dari luar.
Seiring perubahan tersebut, aspek pendigitalan dan integriti dalam pengurusan hutan turut diberi perhatian, termasuk pelaksanaan Electronic Removal Pass (ePASS) bagi meningkatkan kecekapan proses pengeluaran dan pergerakan kayu balak serta memperkukuh ketelusan pengurusan.
Beliau menegaskan bahawa teknologi perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan, namun integriti, amanah dan profesionalisme kekal menjadi asas dalam memastikan pengurusan sumber hutan dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Pendekatan itu selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mengurus sumber semula jadi secara lebih mampan, di samping mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan generasi akan datang.-EDISI UKAS