KUCHING: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan memperkukuh pendekatan proaktif dalam pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sarawak tanpa perlu menunggu permintaan Kerajaan Sarawak khususnya bagi menangani penurunan paras air di beberapa kawasan tadahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan OPA selepas ini akan diselaraskan berdasarkan nasihat profesional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), terutama berkaitan pergerakan angin dan awan yang berpotensi membawa hujan ke kawasan memerlukan.
Menurut beliau, pendekatan itu penting susulan beberapa kawasan takungan atau reservoir mengalami penurunan paras air sehingga berada pada tahap kritikal.
“Jangan tunggu adanya permintaan untuk mengadakan operasi pembenihan awan, tetapi kita mesti mendapatkan nasihat profesional daripada MetMalaysia untuk melihat luruan angin dan juga luruan awan yang membawa hujan di sesuatu lokasi, terutamanya terdapat beberapa reservoir yang mengalami penurunan tadahan air yang menyebabkan situasinya sangat kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2026 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Rabu.
Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid menambah, NADMA sebelum ini telah melaksanakan sekurang-kurangnya tiga OPA di Sarawak berdasarkan permintaan Kerajaan Sarawak.
Katanya, pendekatan baharu itu membolehkan tindakan dilaksanakan lebih awal berdasarkan keadaan cuaca semasa serta nasihat teknikal MetMalaysia, tanpa perlu menunggu keadaan menjadi lebih kritikal.
Beliau menambah, pelaksanaan OPA akan diselaraskan terutama bagi meningkatkan bekalan air di kawasan tadahan atau reservoir yang memerlukan, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cuaca panas dan kering.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. -EDISI UKAS