Lebih 300 Peserta Semarak Sambutan Hari Malaysia Di Bintangor
BINTANGOR: Lebih 300 peserta daripada pelbagai kaum menyemarakkan Perarakan Sempena Sambutan Hari Malaysia di Bintangor, pada Rabu, dalam suasana penuh semangat perpaduan dan keharmonian.
Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong, Kaunselor Samsawi Mohd berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan semangat kebersamaan masyarakat setempat dalam menjayakan program yang meraikan kepelbagaian.
Menurut beliau, penyertaan masyarakat Melayu, Cina dan Iban termasuk wakil dari setiap zon kampung menjadi antara aspek yang membanggakan dalam penganjuran berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama jawatankuasa pengelola, ahli cawangan, Pemuda, Wanita dan Squad Sayang turut membantu memastikan persiapan program dapat dilaksanakan dengan baik meskipun dalam tempoh yang singkat.
“Perpaduan bukan sekadar diraikan pada sambutan tertentu, tetapi perlu terus dipupuk dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Dengan masyarakat yang bersatu dan hidup dalam suasana harmoni, kita dapat bersama-sama menyokong usaha pembangunan serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya semasa berucap pada program tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, keamanan, kestabilan dan hubungan baik dalam kalangan masyarakat merupakan asas penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau menyeru masyarakat supaya terus mempertahankan keharmonian dan memperkukuh hubungan antara kaum yang menjadi antara kekuatan utama masyarakat Sarawak.
Perarakan sejauh kira-kira dua kilometer itu bermula dari Dewan KMKK Bintangor sebelum menyusuri kawasan Kampung Melayu Bintangor.
Turut hadir wakil KMKK, PBB Meradong, ketua-ketua masyarakat serta komuniti setempat.- EDISI UKAS