MIRI: Keluarga mendiang Mancha Lingan, 40, yang maut selepas dihempap jentolak ketika bekerja di Long Seridan, Marudi, menerima bantuan kewangan bagi meringankan beban susulan kehilangan sumber pendapatan utama keluarga.
Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin telah menyerahkan bantuan daripada Pusat Khidmat SUPP Cawangan Senadin kepada keluarga mendiang di Desa Indah, di sini pada Rabu.
Mendiang disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Long Seridan selepas terlibat dalam kemalangan ketika menjalankan tugas pada 12 September lalu.
Menurut Dato Sri Lee, mendiang merupakan pekerja harian dalam sektor pembinaan dan meninggalkan tiga anak yang masih bersekolah, masing-masing di Tingkatan Dua, Darjah Empat dan Darjah Lima.
Beliau berkata, keluarga berkenaan memerlukan perhatian sewajarnya memandangkan mendiang bekerja secara harian dan tidak mempunyai perlindungan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cawangan Miri mendapatkan maklumat berkaitan keluarga berkenaan bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang bersesuaian, termasuk bantuan bulanan untuk anak-anak mendiang.
Dato Sri Lee berkata, bantuan berkenaan diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga, khususnya dalam memastikan kebajikan dan keperluan persekolahan tiga anak mendiang terus diberi perhatian.
Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJK Tudan Jaya turut menyerahkan dana kecemasan kepada keluarga mendiang, manakala Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Miri menyumbangkan bantuan keperluan harian.
Turut hadir Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Hiung Chien Yih, PKHEM SJK Tudan Jaya, Jassica Paul Baki, wakil PBSM Cawangan Miri, Sophia Atikah dan Pegawai Kebajikan JKM Miri Abdul Hafiz Abdul Rahman.- EDISI UKAS