BBP Belaga Perkukuh Kesiapsiagaan Kebombaan Hulu Rajang
BELAGA: Pembukaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga memperkukuh keupayaan perkhidmatan kebombaan serta tahap keselamatan komuniti di kawasan Hulu Rajang.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong telah menyempurnakan peramsjan balai berkenaan pada Rabu.
Pembukaan BBP Belaga memberi nilai tambah kepada aspek keselamatan komuniti, selain memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebombaan di Belaga dan kawasan sekitarnya.
Sebagai simbolik perasmian, Datuk Wilson bersama dif-dif kehormat menanam pokok di halaman BBP Belaga, melambangkan komitmen untuk memastikan balai berkenaan terus memberi khidmat kepada masyarakat serta menyokong usaha meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan pameran kebombaan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta persembahan kebombaan yang memberi peluang kepada masyarakat setempat mengenali lebih dekat peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Ts. Nazili Mahmood, Pengarah JBPM Negeri Sarawak Jamri Masran, Timbalan Residen Kapit Robert Liman Deli, Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah, ketua-ketua jabatan serta ketua masyarakat dan komuniti setempat.-EDISI UKAS