Tiga Bekas Perajurit Sarawak Imbau Detik Perjuangan, Titip Pesanan Kepada Generasi Muda
KUCHING: Pengalaman tiga bekas perajurit Sarawak yang pernah berada di barisan hadapan menjadi antara pengisian bermakna sempena sambutan Hari Malaysia apabila mereka berkongsi kisah perjuangan, pengorbanan dan detik getir sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkongsian itu disampaikan menerusi sesi Pocket Talk sempena Pameran Koridor Zaman Pembentukan Malaysia di Plaza Merdeka, di sini pada Rabu.
Tiga bekas perajurit berkenaan ialah Dato Col Fabian Wong, Mejar (B) Sharkawi Dawi dan Sarjan Dajai Anggie, yang masing-masing mempunyai pengalaman tersendiri sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Dato Col Fabian yang menyertai 1st Battalion Malaysia Rangers pada 1964 berkhidmat selama 32 tahun dan pernah terlibat dalam Konfrontasi Indonesia-Malaysia di sempadan Sarawak-Kalimantan, selain beberapa operasi serta penugasan risikan.
Mengimbau kembali pengalamannya sepanjang berkhidmat, beliau berkata khidmatnya mempertahankan negara, khususnya Sarawak, bukan sekadar satu tanggungjawab tetapi turut didorong rasa cinta terhadap tanah air dan negeri kelahirannya.
“Saya rasa sangat berbangga kerana kami berkhidmat untuk negara. Secara khususnya, kami berkhidmat di Sarawak. Jadi, mempertahankan Sarawak, tempat asal saya, bukan sahaja menjadi tanggungjawab kami, tetapi juga lahir daripada rasa cinta terhadap negara dan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Dajai yang berkhidmat selama 21 tahun pernah melalui detik getir apabila kumpulannya diserang hendap ketika Ops Ngayau pada 1971.
Keberanian beliau dalam pertempuran berkenaan membawa kepada penganugerahan Panglima Gagah Berani (PGB), sekali gus menjadi antara pengalaman penting sepanjang perkhidmatannya.
Sharkawi pula yang terus aktif dalam Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer Negeri Sarawak menekankan kepentingan generasi muda memahami sejarah dan tidak mengambil mudah soal keamanan yang dinikmati hari ini.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya terlalu leka, sebaliknya perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keamanan negara.
“Kita tidak boleh rasa terlalu lega. Kita mesti sentiasa berwaspada supaya hidup kita sentiasa aman. Anak-anak muda dan generasi akan datang perlu tahu tentang cabaran serta perkara yang mungkin berlaku pada masa hadapan. Jadi, jangan kita terlalu leka dan sebagainya,” ujarnya.
Sesi berkenaan memberi peluang kepada pengunjung mendengar secara langsung pengalaman bekas anggota keselamatan yang pernah berdepan situasi mencabar ketika mempertahankan keamanan negara.
Perkongsian tersebut turut membuka ruang kepada generasi hari ini untuk memahami bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati pada masa kini mempunyai kaitan rapat dengan keberanian, khidmat serta pengorbanan generasi terdahulu. -EDISI UKAS