Jalur Gemilang Lambang Kedaulatan, Rakyat Perlu Tunjuk Semangat Cintakan Negara
SIMANGGANG: Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara yang perlu dihormati dan dihargai oleh setiap rakyat Malaysia sebagai manifestasi semangat cintakan negara.
Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Safaliza Bujang berkata, rakyat yang mempunyai semangat patriotisme tidak seharusnya berasa segan untuk mengibarkan Jalur Gemilang, malah sanggup berkorban demi mempertahankan simbol kedaulatan negara tersebut.
“Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara dan pastinya bagi rakyat yang cintakan negara tidak segan untuk mengibarkannya malah sanggup berkorban demi bendera tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program JIWA@Komuniti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Sri Aman, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Safaliza turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran digital dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam penggunaan media sosial secara berhemah.
Katanya, masyarakat perlu bijak menilai kesahihan maklumat yang diterima, mengelakkan penyebaran berita palsu serta menggunakan platform digital secara bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian dan perpaduan terus terpelihara.
Program tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara Jabatan Penerangan Malaysia dan komuniti setempat menerusi penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.
Simbolik perasmian program turut disempurnakan menerusi penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil komuniti setempat sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme serta menggalakkan masyarakat mengibarkan bendera kebangsaan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Sebagai tanda penghargaan kepada komuniti, empat penerima turut menerima saguhati di bawah inisiatif Kerajaan Sarawak melalui KMKK Melayu Simanggang.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah bagi menggalakkan penyertaan komuniti serta memeriahkan sambutan Hari Malaysia di peringkat setempat. -EDISI UKAS