NADMA Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana, Utamakan Aset Kritikal & Amaran Awal
KUCHING: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana menerusi cadangan pemusatan perolehan aset kritikal serta penggunaan sistem amaran awal hingga ke peringkat daerah dan lokaliti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan aset mencukupi dan dapat digerakkan dengan segera ketika bencana, selain membolehkan operasi menyelamat serta pemindahan penduduk dilaksanakan lebih awal.
Menurut beliau, antara aset yang dicadangkan untuk diperoleh NADMA ialah bot dan kenderaan berat sebelum dioperasikan serta diselenggara oleh agensi berkaitan seperti polis, bomba dan pertahanan awam.
“Bagi aset-aset, bot dan kenderaan-kenderaan berat untuk kegunaan agensi pengawasan seperti polis, bomba ataupun pertahanan awam, saranan mesyuarat tadi agar aset-aset ini dibeli oleh NADMA dan dioperasikan oleh agensi-agensi serta diselenggara oleh agensi berkenaan kerana mereka menghadapi permasalahan dari segi pembelian aset dan juga penyelenggaraan aset,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2026 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Rabu.
Pada masa sama, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid berkata, sistem amaran awal sedia ada perlu dimanfaatkan sehingga ke peringkat daerah dan lokaliti bagi membolehkan tindakan pemindahan dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
“Oleh sebab itu, kita mahu supaya di peringkat koordinasi, di daerah dan peringkat lokaliti, sistem amaran awal yang sedia ada digunakan sebelum banjir berlaku, sebelum luruan hujan berlaku melebihi daripada paras biasa supaya pemindahan itu telah dilakukan awal,” ujarnya.
Menurut beliau, tindakan awal bukan sahaja dapat membantu melindungi nyawa, malah memberi ruang kepada penduduk menyelamatkan dokumen penting serta harta benda sebelum bencana berlaku.
Beliau menambah, keberkesanan pengurusan bencana turut bergantung kepada penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, kementerian, jabatan, agensi penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai aset serta kepakaran berkaitan.
Tambahnya, NGO juga boleh memainkan peranan dalam aspek komunikasi ketika bencana, termasuk menyediakan sistem komunikasi alternatif sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik atau sistem komunikasi sedia ada.
Pendekatan itu mencerminkan penekanan NADMA terhadap kesiapsiagaan sebelum bencana menerusi pengukuhan aset, sistem amaran awal dan koordinasi antara agensi bagi mengurangkan risiko serta melindungi masyarakat.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. -EDISI UKAS