Malaysia, Indonesia Perkukuh Kerjasama Tangani Jerebu Rentas Sempadan
KUCHING: Malaysia akan memperkukuh kerjasama dengan Indonesia dalam menangani isu jerebu rentas sempadan menerusi pendekatan pencegahan dan koordinasi berterusan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu berkenaan akan menjadi antara agenda utama dalam lawatan kerja beliau ke Jakarta, Republik Indonesia bermula Khamis.
Menurut beliau, perkara itu dijadual dibincangkan bersama Menteri Lingkungan Hidup Indonesia serta Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka sebagai usaha memperkukuh koordinasi antara kedua-dua negara, khususnya dalam menangani kejadian titik panas yang boleh menyumbang kepada jerebu.
“Antara topik penting ialah masalah jerebu yang akan saya berbincang dan koordinasikan dengan Gibran Rakabuming Raka, Naib Presiden Indonesia juga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bencana Negara di sini pada Rabu.
Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pendekatan jangka panjang perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan masalah jerebu terus berulang sehingga memberi kesan kepada negara-negara jiran.
“Pada hemat saya, langkah-langkah proaktif wajib dilakukan oleh antara negara-negara anggota ASEAN terutamanya apabila ianya melibatkan soal jerebu dengan sebuah negara jiran,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama serantau amat penting dalam memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, terutama ketika berdepan isu pencemaran udara rentas sempadan.
Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid dijadual mengadakan lawatan kerja ke Jakarta dari 17 hingga 20 September 2026 bagi menghadiri Persidangan Halal-20: The 5th World Halal Summit 2026 (Summit H20), anjuran Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), Republik Indonesia.
Turut hadir semasa mesyuarat ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.-EDISI UKAS