74 Pelajar Tabika Perpaduan Sarikei Terima Manfaat MAKSAK CARES
SARIKEI: Seramai 74 pelajar Tabika Perpaduan Bahagian Sarikei menerima beg cenderahati bernilai RM50 setiap seorang menerusi inisiatif MAKSAK CARES sempena Program Kesedaran Citra Merdeka, pada Rabu.
Sumbangan daripada Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak itu disampaikan pada program anjuran Tabika Perpaduan Bahagian Sarikei di Dewan Pusat Aktiviti Perpaduan Kampung Baru Seberang.
Inisiatif berkenaan memberi manfaat secara langsung kepada kanak-kanak, selain melengkapkan pengisian sambutan Hari Malaysia yang memberi penekanan terhadap penerapan nilai patriotisme dan perpaduan sejak usia awal.
Program yang bermula pada jam 8 pagi itu turut menampilkan aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang bagi memperkenalkan simbol kenegaraan kepada pelajar serta memupuk penghargaan terhadap keharmonian dan perpaduan negara.
Pertandingan mewarna bertemakan kemerdekaan turut diadakan dengan penyertaan pelajar bersama ibu bapa masing-masing, sekali gus menggalakkan penglibatan keluarga dalam aktiviti berteraskan kenegaraan.
Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti tersebut turut menyediakan ruang interaksi antara keluarga dan komuniti, selain membantu pelajar menzahirkan kreativiti melalui pendekatan pembelajaran yang lebih santai dan interaktif.
Secara keseluruhannya, penganjuran program itu menggabungkan elemen kebajikan, pendidikan patriotisme dan penglibatan komuniti dalam usaha membentuk kesedaran kenegaraan dalam kalangan generasi muda sejak di peringkat pendidikan awal.-EDISI UKAS