200 Penerima Terima Sumbangan RM30,000 Sempena Program Sentuhan Kasih Kota Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 200 penerima daripada masyarakat setempat menerima sumbangan keseluruhan bernilai RM30,000 menerusi Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI.
Setiap penerima menerima sebuah Bakul Rahmah bernilai RM50 serta wang tunai tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM100, menjadikan jumlah sumbangan diterima setiap penerima sebanyak RM150.
Penyampaian sumbangan disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, di sini pada Rabu.
Daripada jumlah tersebut, 100 penerima menerima sumbangan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan menerusi peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, manakala 100 penerima lagi menerima sumbangan yang disediakan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Secara keseluruhannya, sumbangan berkenaan melibatkan RM10,000 bagi penyediaan 200 Bakul Rahmah dan RM20,000 dalam bentuk wang tunai CSR.
Datuk Armizan dalam ucapannya berkata, bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan perlu terus diperkasakan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan, pemimpin setempat dan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara berkesan kepada kumpulan sasaran. -EDISI UKAS