STR Sarawak Cecah 901,555 Penerima, Bantuan Maksimum Kini RM4,600 Setahun
KOTA SAMARAHAN: Seramai 901,555 penerima di Sarawak menerima manfaat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), termasuk 88,855 penerima di Parlimen Kota Samarahan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah tersebut menunjukkan skala bantuan tunai yang disediakan kerajaan bagi membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup, dengan penerima yang paling memerlukan kini boleh menerima sehingga RM4,600 setahun termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kalau tahun 2012, yang paling susah hanya menerima RM500 setahun, tetapi sekarang pada 2026, yang paling susah sudah menerima RM4,600 setahun termasuk bantuan SARA,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah MADANI, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Armizan berkata Jualan Rahmah MADANI telah diinstitusikan sebagai program rasmi dan tetap kerajaan sejak 2023 bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.
Katanya, pelaksanaan program berkenaan turut ditambah baik bagi memastikan manfaatnya dapat diperluaskan dan diakses secara lebih konsisten oleh masyarakat.
“Sekarang program ini telah diinstitusikan menjadi program rasmi kerajaan dan bermula 2023, namanya Program Jualan Rahmah MADANI,” katanya.
Beliau berkata, antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya tiga kali Jualan Rahmah MADANI setiap bulan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, sasaran itu membolehkan program dilaksanakan secara lebih konsisten dan tidak hanya bergantung kepada kehadiran pemimpin atau penganjuran acara tertentu.
Katanya lagi, pelaksanaan turut diperluaskan melalui penglibatan rakan strategik dalam sektor peruncitan termasuk kedai runcit dan pasar raya, sekali gus membolehkan lebih banyak premis menawarkan manfaat Jualan Rahmah MADANI kepada pengguna.
Selain itu, akses kepada program berkenaan turut diperluaskan menerusi tiga kaedah pelaksanaan iaitu dalam premis, luar premis dan premis bergerak.
“Sekarang kita buat tiga kaedah. Ada yang dalam premis, ada yang luar premis dan ada yang bergerak sebagaimana hari ini, jadi akses lebih banyak dan boleh masuk ke kampung,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan yang mewakili Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Matthew Dominic Barin. -EDISI UKAS