Maulidur Rasul, Hari Malaysia Jadi Pemangkin Pembentukan Ummah Berilmu & Bersatu
KOTA SAMARAHAN: Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia menjadi pemangkin kepada pembentukan ummah yang berilmu, berakhlak dan bersatu, menerusi penghayatan nilai agama serta semangat kebersamaan yang perlu terus disuburkan dalam kehidupan masyarakat.
Penghayatan tersebut diterapkan menerusi Majlis Kesyukuran Bersempena Sambutan Maulidur Rasul dan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Bahagian Samarahan Tahun 1448H/2026M yang berlangsung di Masjid Ar Riyadh, di sini pada Selasa.
Majlis berkenaan dihadiri Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, Anuar Da’an yang mewakili Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang.
Turut hadir wakil Residen Bahagian Samarahan, Juhairi Bujang, Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Samarahan, Aswat Osen, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Che Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Ar Riyadh Taman Samarindah, Mohamad Rezal Husin.
Majlis anjuran Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Ar Riyadh Taman Samarindah dimulakan dengan bacaan Yasin yang dipimpin Imam Bahagian Samarahan, Anwar Musadad Muhamad Tajuddin, sebelum diteruskan dengan Solat Fardhu Maghrib berjemaah.
Pengisian utama majlis diteruskan menerusi tazkirah bertajuk ‘Ummah Maju Makmur’ yang disampaikan Aswat. -EDISI UKAS