Datuk Abdullah Hadiri Pocket Talk Bicara Bakti Negara Sempena Hari Malaysia
KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, menghadiri Pocket Talk Program Bicara Bakti Negara yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia, di sini pada Rabu.
Kehadiran beliau pada program berkenaan mencerminkan sokongan terhadap usaha mengetengahkan kisah perjuangan, pengorbanan dan jasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan keamanan negara.
Program tersebut menampilkan perkongsian pengalaman daripada beberapa tokoh veteran, termasuk Mejar (B) Sharkawi Dawi, Dato Col Fabian Wong dan Sarjan Dajai Anggie yang mempunyai pengalaman dalam pelbagai operasi keselamatan negara.
Mejar (B) Sharkawi merupakan bekas anggota ATM yang berasal dari Sarawak dan kini aktif sebagai Setiausaha Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) Negeri Sarawak.
Beliau turut terlibat dalam perkongsian sejarah ketenteraan tempatan dan pernah membentangkan kertas kerja berkaitan Ops Selamat Sawadee di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Sementara itu, Dato Col Fabian Wong merupakan veteran ATM yang mempunyai pengalaman 32 tahun dalam perkhidmatan dari 1964 hingga 1996 dan bersara dengan pangkat terakhir Leftenan Kolonel.
Beliau pernah terlibat dalam Konfrontasi Indonesia-Malaysia di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, operasi menentang pemberontakan di sempadan Malaysia-Thailand dan Ulu Katibas, Sarawak, selain pernah berkhidmat sebagai Pegawai Risikan Tentera di Sibu/RASCOM.
Turut berkongsi pengalaman ialah Sarjan Dajai Anggie, yang pernah berkhidmat dalam Rejimen Renjer Diraja selama 21 tahun dan dikenang atas keberaniannya ketika berdepan serangan hendap pengganas komunis dalam satu operasi di Sarawak pada 1971.
Atas keberanian dan jasa beliau, Sarjan Dajai kemudiannya dianugerahkan Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong.
Program Bicara Bakti Negara berkenaan menjadi wadah untuk masyarakat, khususnya generasi muda, mendengar sendiri pengalaman veteran yang pernah melalui detik-detik penting dalam sejarah keselamatan negara.
Perkongsian tersebut turut memberi nilai tambah kepada sambutan Hari Malaysia dengan mengangkat kisah pengorbanan anggota keselamatan sebagai sebahagian daripada sejarah pembentukan dan pemeliharaan keamanan negara. -EDISI UKAS