Generasi Muda Perlu Fahami Asas Pembentukan Malaysia
ENGKILILI: Generasi muda perlu memahami asas pembentukan Malaysia termasuk sejarah serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi meningkatkan kesedaran mengenai kedudukan dan hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi berkata, pengetahuan mengenai sejarah pembentukan negara dan MA63 amat penting dalam membentuk pemahaman yang lebih jelas dalam kalangan generasi muda.
"Pengetahuan mengenai sejarah pembentukan negara dan MA63 amat penting bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang kedudukan serta hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program MDLA Car Free Day di bawah One Health Promotion MDLA sempena sambutan Hari Malaysia 2026 di Rumah Rebecca, Lipat Ulu, di sini, pada Rabu.
Roy menambah, kesedaran mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan MA63 perlu terus dipupuk agar generasi muda dapat memahami perkara tersebut dengan lebih jelas.
Mengenai program, beliau berharap program kemasyarakatan seperti MDLA Car Free Day dapat terus dianjurkan kerana bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk setempat.
Ujarnya, program seperti ini wajar diadakan dengan lebih kerap kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk setempat. -EDISI UKAS