KUCHING: Pelabuhan Bintulu secara rasmi menjadi milik Kerajaan Sarawak susulan penyerahan rasmi daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak dalam satu majlis simbolik penyerahan dokumen rasmi di Terminal Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pada Rabu.
Majlis tersebut disaksikan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Penyerahan dokumen rasmi tersebut diterima oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Antara dokumen yang diserahkan ialah Perintah Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan Jadual) 2026 dan Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) (Tarikh Peletakhakan) 2026.
Turut diserahkan dokumen adalah Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 [Akta 858] dan Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 [Akta 859].
Bermula 1 September lepas, Pelabuhan Bintulu secara rasminya bertukar status daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri sekali gus semua harta, hak, kepentingan dan obligasi Lembaga Pelabuhan Bintulu dipindahkan kepada dan diletak hak pada Kerajaan Sarawak.
Nilai pengambilalihan Lembaga Pelabuhan Bintulu dipersetujui berjumlah RM1.8 bilion pada 4 Februari 2026 sebelum Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak memeterai 'Completion Agreement' pada 21 Jun lepas.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain.
Terdahulu, Dato Seri Anwar telah tiba di LTAK pada sekitar jam 5.35 petang untuk menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2026 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada sebelah malam. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & George Embie