Program Sejambak Kasih Semarak Semangat Perpaduan Sempena Hari Malaysia
KUCHING: Sambutan Hari Malaysia 2026 di Kota Sentosa turut diserikan dengan Program Sejambak Kasih menerusi penyampaian bakul makanan kepada penduduk setempat pada Rabu.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN N12 Kota Sentosa bersama Farley Kuching di Farley Mall itu bertujuan menyampaikan bantuan kepada penduduk setempat selain menyemarakkan semangat perpaduan, keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, pemberian bakul makanan berkenaan mungkin kelihatan sederhana, namun nilai sebenar Program Sejambak Kasih terletak pada keprihatinan dan kasih sayang sesama masyarakat.
"Kita mahu memastikan tiada seorang pun dalam komuniti kita berasa tersisih atau dilupakan.
"Inilah semangat inklusiviti yang kita amalkan di Sarawak iaitu kebajikan dan kesejahteraan rakyat mesti dirasai oleh semua, tanpa mengira kaum, agama ataupun latar belakang," katanya semasa berucap.
Wilfred menambah, Hari Malaysia bukan sekadar satu tarikh dalam kalendar, sebaliknya menjadi peringatan bahawa rakyat merupakan sebahagian daripada sebuah negara yang dibina atas asas perpaduan, saling menghormati dan kehidupan bersama dalam kepelbagaian.
Katanya, kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Sarawak perlu terus dilihat sebagai kekuatan dalam membina masyarakat yang aman, stabil, inklusif dan makmur. -EDISI UKAS