16 Pasukan Rebut Empat Tiket Separuh Akhir Piala Parlimen P200 Batang Sadong
SIMUNJAN: Saingan Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen P200 Batang Sadong kini memasuki fasa lebih getir apabila 16 pasukan kekal dalam perebutan kejuaraan bagi kategori veteran dan senior.
Lapan pasukan daripada setiap kategori berjaya melepasi pusingan awal untuk menempah tiket ke peringkat suku akhir yang akan berlangsung pada 19 dan 20 September ini di Stadium Mini Simunjan.
Dalam kategori veteran, lapan pasukan yang mara ialah Khaitifia Veteren FC, Ex Force, KS Vet FC, Kaslo DC, BDR FC, Abok FC, Megalodon Vet FC dan Legends FC.
Sementara itu, kategori senior menyaksikan Jaie FT, Pemuda Gedong, Black Mamba, Gedong Unity, Alaska King, Kaslo FC, Trio United FC dan Zass FC meneruskan cabaran.
Kategori veteran merupakan kategori terbuka yang membolehkan penyertaan pasukan tanpa terhad kepada kawasan Parlimen P200 Batang Sadong, manakala kategori senior merupakan kategori tertutup yang hanya terbuka kepada pasukan dari kawasan Parlimen P200 Batang Sadong.
Saingan di peringkat suku akhir dijangka lebih sengit apabila setiap pasukan berdepan situasi menang atau tersingkir, dengan hanya empat pasukan daripada setiap kategori akan mara ke peringkat separuh akhir.
Selain ketajaman jentera serangan, kekuatan pertahanan, kecergasan pemain dan kebijaksanaan taktikal dijangka menjadi antara faktor penting dalam menentukan pasukan yang mampu meneruskan cabaran.
Bagi kategori veteran, pengalaman bakal menjadi antara kelebihan yang dimanfaatkan pasukan, manakala kategori senior dijangka menyaksikan persaingan dari segi kelajuan, kecergasan dan intensiti permainan.
Daripada 16 pasukan yang masih bertahan, hanya lapan pasukan akan mara ke separuh akhir sebelum dua pasukan terbaik bagi setiap kategori berentap di pentas final pada 27 September.
Perlawanan akhir nanti dijangka disaksikan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, turut dijangka hadir memberikan sokongan kepada saingan kejohanan. -EDISI UKAS