Isu PETRONAS-Petros Boleh Dileraikan, PMX Jamin Perjanjian Komersial Dimuktamadkan
KUCHING: Isu membabitkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) boleh dileraikan, dengan hanya beberapa aspek komersial kini menjadi tumpuan untuk dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa prinsip utama yang telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak menjadi asas penting dalam meneruskan rundingan, khususnya bagi memastikan kepentingan Sarawak terus dipelihara.
“Saya hendak memberi jaminan di sini pada 16 September kepada kita semua bahawa tidak mungkin hal ini tidak boleh dileraikan.
“Prinsip yang sudah kita muktamadkan kekal, dan hanya beberapa aspek perjanjian komersial yang kini perlu diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Rabu.
Sambutan berkenaan turut menerima kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Dato Seri Anwar, peningkatan keupayaan Sarawak dalam industri minyak dan gas sejak penubuhan PETRONAS turut membawa kepada tuntutan supaya Sarawak diberikan ruang dan peluang lebih besar dalam sektor berkenaan.
Katanya, penubuhan Petros mencerminkan perkembangan keupayaan Sarawak dan aspirasi negeri itu untuk mempunyai sebuah syarikat yang mampu memainkan peranan lebih besar dalam industri petroleum.
“Bila Petros diwujudkan, kita anggap ini sebagai satu badan yang mewakili seluruh negara dalam PDA 74. Tetapi masa membuktikan keupayaan Sarawak meningkat.
“Rakyat Sarawak juga merasakan harus punya peluang dan kesempatan. Maka diwujudkan Petros,” katanya lagi.
Tegas beliau, pendirian Kerajaan Persekutuan adalah untuk mempertahankan Petros sebagai sebuah syarikat yang mampu berkembang sebagai pemain di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Sikap saya, saya kata pertahankan PETRONAS sebagai satu gergasi peringkat nasional dan internasional. Mari kita sama-sama bimbing dan angkat keupayaan Petros sebagai syarikat kita bersama. Itu sikap kita,” katanya.
Rundingan PETRONAS-Petros sebelum ini menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam perkembangan sama, beliau berkata tekanan terhadap harga minyak dunia turut memberi kesan kepada kos tenaga berikutan peningkatan harga minyak mentah daripada sekitar AS$70 setong ketika pembentangan belanjawan tahun lalu kepada kira-kira AS$102 setong ketika ini.
Bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan untuk tidak membebankan rakyat dengan harga bahan api di Malaysia masih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak lain termasuk Arab Saudi dan Qatar. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ameerul Syafiq Khir, Jaed Tepus & Muhammad Rais Sanusi