BCCK Dinilai Bagi Penuhi Keperluan Taekwondo, Muay Thai Sukan SEA 2027
KUCHING: Kesesuaian kemudahan dan keperluan teknikal Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagi penganjuran pertandingan Taekwondo dan Muay Thai menjadi tumpuan dalam persiapan Sarawak sebagai kluster tuan rumah Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027.
Perkara itu dibincangkan menerusi mesyuarat dan lawatan tapak yang menghimpunkan Sekretariat Kluster Sarawak, wakil persatuan sukan serta agensi berkaitan di BCCK, pada Ahad.
Mesyuarat dipengerusikan Setiausaha Sekretariat Local Organizing Committee (LOC) Kluster Sarawak, Khairul Nizam Morshidi, dengan perbincangan menjurus kepada keperluan teknikal pertandingan, kemudahan venue serta pembahagian tanggungjawab antara pihak terlibat.
Hadir sama Ketua Persediaan Venue, Operasi Sukan & Pengalaman Pihak Berkepentingan, Sekretariat LOC Kluster Sarawak Abdul Rani Abdullah.
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk kesesuaian ruang pertandingan, kemudahan sokongan dan keperluan operasi bagi memastikan kedua-dua acara sukan tempur itu dapat berlangsung mengikut spesifikasi penganjuran.
Sesi berkenaan diteruskan dengan lawatan ke ruang dan kemudahan BCCK yang dicadangkan sebagai lokasi pertandingan bagi membolehkan wakil persatuan sukan serta agensi berkaitan menilai keadaan sebenar venue.
Penilaian di lokasi turut membolehkan perkara yang memerlukan penambahbaikan dikenal pasti lebih awal, sekali gus memberi ruang kepada pihak berkaitan merancang tindakan susulan sebelum temasya berlangsung.
Penglibatan pelbagai agensi dalam sesi tersebut turut meliputi aspek keselamatan, kesihatan, pengangkutan, infrastruktur, utiliti dan komunikasi yang menjadi sebahagian daripada keperluan penganjuran pertandingan.
Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dengan Sarawak, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran.
Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada 18 jenis sukan, selain Stadium Sarawak di Kuching dipilih sebagai lokasi upacara pembukaan temasya berkenaan.
Stadium itu kini sedang menjalani kerja-kerja naik taraf sebagai persediaan menghadapi acara tersebut.
Turut menyertai mesyuarat dan lawatan tapak ialah wakil Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Persatuan Sukan Taekwondo, Persatuan Muay Thai, pengurusan BCCK, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Sarawak Media Group (SMG), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Telekom Malaysia (TM), Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Sarawak Multimedia Authority (SMA) serta Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD). -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang