55 Tahun Tadika Methodist Siburan Membentuk Generasi Muda
SIBURAN: Sumbangan Tadika Methodist Siburan selama 55 tahun dalam pendidikan awal kanak-kanak terus memberi kesan kepada pembentukan generasi muda dan perkembangan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, peranan institusi itu bukan sekadar menyediakan pendidikan asas, malah turut membentuk sahsiah kanak-kanak menerusi penerapan nilai moral, kerohanian dan kasih sayang sejak usia awal.
“Pendidikan prasekolah yang menitikberatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak penting bagi membina keyakinan diri, disiplin dan persediaan mereka sebelum memasuki alam persekolahan formal.
“Tadika Methodist Siburan juga merupakan antara institusi pendidikan yang telah menyumbang kepada perubahan dan pembangunan masyarakat di kawasan itu sepanjang tempoh penubuhannya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi dan Makan Malam Tadika Methodist Siburan Kali Ke-55, di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut meraikan 70 murid yang berjaya menamatkan pendidikan prasekolah, dengan kehadiran kira-kira 470 tetamu terdiri daripada ibu bapa, guru dan komuniti setempat.
Turut hadir, Pastor Siburan Methodist Church Sia Bee Seng, Pengerusi Lembaga Pengelola Tadika Methodist Siburan Liew Sing Tau, Pengetua Lai Khang Theng, Penghulu Masyarakat Cina Kawasan Siburan, Tapah dan Beratok Voon Min Sen serta barisan kapitan dan guru. -EDISI UKAS