Pameran Mini Hari Malaysia Semarak Patriotisme Masyarakat Sri Aman
SIMANGGANG: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sri Aman bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Daerah Sri Aman berganding bahu menyemarakkan semangat patriotisme menerusi Program Pameran Mini Hari Malaysia 2026.
Program yang berlangsung di perkarangan pintu masuk utama Pasar Raya Besar LePaPa Sri Aman itu dirasmikan oleh Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Frank Lani.
Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman, Zaidil Ripin berkata, program berkenaan menjadi antara wadah untuk meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap sejarah dan signifikan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Menurutnya, penganjuran program itu juga memberi peluang kepada masyarakat pelbagai lapisan umur, kaum dan agama untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah pembentukan negara serta mengenali tokoh-tokoh yang terlibat dalam proses berkenaan.
“Melalui pelaksanaan program ini, pihak kami dapat membantu meningkatkan pemahaman penduduk Sri Aman mengenai sejarah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dan tokoh-tokoh yang terlibat.
“Dengan adanya program ini, orang ramai tanpa mengira lapisan umur, kaum dan agama dapat mempelajari sejarah pembentukan negara sekali gus menjadikan sambutan Hari Malaysia lebih bermakna,” katanya pada Rabu.
Antara pengisian program ialah Kuiz Kenegaraan dan Pameran Mini yang mengetengahkan poster informasi serta tayangan dokumentari berkaitan sejarah pembentukan Malaysia.
Aktiviti tersebut berjaya menarik perhatian pengunjung sekali gus memberi peluang kepada mereka memperoleh maklumat berkaitan Hari Malaysia dengan lebih mendalam dan tepat.
Zaidil berharap program berkenaan dapat memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat Sri Aman, selain meningkatkan penghayatan terhadap erti dan semangat pembentukan Malaysia.
Hadir sama, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Safariza Bujang; Temenggong Leonard Libau Anol; Temenggong Kueh Aik Seng dan Temenggong Mohd Shah Achang.
Program yang berlangsung sehingga jam 2 petang itu menarik kira-kira 120 pengunjung terdiri daripada orang awam, pelajar Sarawak Skills Sri Aman dan GIATMARA Sri Aman serta urus setia penganjur. - EDISI UKAS