Setahun Menuju SEA Games 2027, Sarawak Perhebat Persiapan
KUCHING: Berbaki setahun menjelang Sukan SEA Ke-34 pada 2027, Sarawak kini memperhebat persiapan sebagai tuan rumah bersama dengan menggerakkan 24 jawatankuasa serta melaksanakan 11 projek pembangunan dan naik taraf venue bagi memastikan temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu berlangsung lancar.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat SEA Games Malaysia 2027 bagi Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata, persiapan turut merangkumi penyelarasan bersama Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 serta kesiapsiagaan Sarawak untuk menjadi lokasi bagi 18 daripada keseluruhan 43 jenis sukan yang dipertandingkan.
Menurutnya, Majlis One Year Countdown to SEA Games 2027 menjadi titik penting dalam meningkatkan kesedaran awam dan menyemarakkan semangat rakyat menjelang temasya berkenaan.
“Majlis One Year Countdown pada 18 September ini memang satu titik yang penting menjelang Sukan SEA yang ke-34 Malaysia di mana Sarawak telah diberi penghormatan kali pertama untuk menganjur SEA Games 2027 bersama dengan Kuala Lumpur, Penang dan juga Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS pada Khamis.
Datu Hii Chang Kee menambah, penubuhan sekretariat dan jawatankuasa berkaitan membolehkan persiapan di Kluster Sarawak diselaraskan dengan MASOC di peringkat nasional.
“Jadi kita telah menubuhkan sekretariat utama yang bekerjasama dengan sekretariat utama di Kuala Lumpur iaitu MASOC, Malaysia SEA Games Organising Committee, dalam menganjurkan 18 sukan daripada 43 jumlah sukan untuk Sukan SEA yang akan datang.
“Selain itu, kita telah menubuhkan sebanyak 24 jawatankuasa dan kita pun telah merancang dan juga melaksanakan sebanyak 11 projek pembangunan, membaik pulih venue pelbagai sukan semasa Sukan SEA pada tahun depan,” jelasnya.
Sementara itu katanya, dalam memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur, 11 projek berkenaan melibatkan pembangunan dan kerja membaik pulih venue bagi memastikan kemudahan yang digunakan berada pada tahap sesuai untuk penganjuran temasya itu.
Selain kesiapsiagaan venue jelas beliau, penyelarasan antara semua kluster turut diberi perhatian menerusi konsep “One Game, One Standard” bagi memastikan aspek pengangkutan, penginapan, makanan serta layanan kepada atlet dan delegasi dapat dilaksanakan secara selaras.
Pada masa sama katanya, penglibatan masyarakat turut menjadi sebahagian daripada persiapan bagi membina momentum dan menyemarakkan suasana menjelang temasya tersebut.
Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran Sukan SEA 2027 dapat meninggalkan legasi berkekalan kepada Sarawak, khususnya dengan memberi peluang kepada generasi muda merasai sendiri pengalaman menyaksikan temasya sukan antarabangsa di negeri ini.
Sarawak turut memperuntukkan RM350 juta bagi penganjuran Sukan SEA 2027, manakala Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan RM330 juta, Pulau Pinang pula memperuntukkan RM15 juta dan Johor RM5 juta.
Penganjuran Sukan SEA 2027 akan melibatkan empat kluster iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, dengan Sarawak turut menjadi lokasi majlis perasmian yang dijadual berlangsung pada 18 September 2027.-EDISI UKAS