RM10 Juta Perkasa Sistem Tagang Terbat Sebagai Destinasi Ekopelancongan
SERIAN: Peruntukan RM10 juta diluluskan bagi Projek Pembinaan Kemudahan Pelancongan Bersepadu Tagang Terbat di Kampung Terbat Mawang dalam usaha memperkasa kawasan berkenaan sebagai destinasi ekopelancongan, sekali gus merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, projek berkenaan dilaksanakan di bawah Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) melibatkan pengambilan tanah seluas 4.84 hektar.
Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, pembangunan itu akan menyediakan pelbagai kemudahan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung serta memperkukuh daya tarikan Sistem Tagang Terbat sebagai produk pelancongan luar bandar.
“Projek ini akan melibatkan pembinaan beberapa kemudahan seperti pavilion, tempat parkir, pasar mini, tandas awam, tebingan moden atau gazebo, substation, kafetaria serta kawasan perkhemahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerja rasmi Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Sri Muhd Shahar Abdullah ke Projek Sistem Tagang di Kampung Terbat Mawang di sini pada Khamis.
Datuk Martin menambah, pembangunan kemudahan bersepadu itu dijangka memberi nilai tambah kepada kawasan berkenaan dengan menarik lebih ramai pengunjung, selain membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Ia juga akan menyokong usaha memperkasa sektor pelancongan luar bandar menerusi penyediaan infrastruktur dan kemudahan yang lebih tersusun serta selesa.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Terbat Mawang, Francis John berkata, projek tagang berkenaan pada peringkat awal melibatkan penyertaan penduduk daripada tiga buah kampung termasuk Kampung Muara Ahi.
Turut hadir, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Kirolina Kisun, Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap dan Pegawai Daerah Tebedu, Gerald George Entigar.-EDISI UKAS