Sistem Tagang Berpotensi Diperkasa Sebagai Produk Ekopelancongan
SERIAN: Sistem Tagang perlu terus dipelihara dan dipromosikan secara proaktif bagi memastikan usaha pemuliharaan sumber semula jadi memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, selain berpotensi dikembangkan sebagai produk ekopelancongan berasaskan komuniti.
Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Sri Muhd Shahar Abdullah berkata, pendekatan berkenaan selaras dengan penekanan terhadap aspek kelestarian dan kemampanan dalam perancangan pembangunan negara.
Menurutnya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) merupakan dokumen perancangan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun yang merangkumi semua negeri termasuk Sarawak.
“Sebagai peneraju dan pembuat dasar di peringkat negara, kita memberi perhatian kepada aspek kemampanan dalam setiap perancangan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja rasmi ke Projek Sistem Tagang di Kampung Terbat Mawang di sini pada Khamis.
Dato Sri Muhd Shahar menambah, Sistem Tagang yang diwujudkan dan dibangunkan oleh komuniti setempat perlu terus dipelihara menerusi kerjasama semua pihak berkepentingan.
Pada masa sama, beliau menggalakkan usaha mempromosikan projek berkenaan secara lebih proaktif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta mengetengahkan potensinya dalam sektor ekopelancongan dan pemuliharaan berasaskan komuniti.
Jelasnya, usaha itu penting supaya manfaat daripada Projek Sistem Tagang bukan sahaja dapat dinikmati generasi sekarang, malah terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berharap semua pihak terus memainkan peranan dalam memastikan kelestarian Sistem Tagang, sekali gus memperkukuh usaha pemuliharaan sumber semula jadi secara berterusan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektoral) Kementerian Ekonomi, Nasaruddin Abdul Muttalib, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Kirolina Kisun, Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Tebedu, Gerald George Entigar, Temenggong Henry Bujang Senden dan Ketua Kampung Francis John.-EDISI UKAS