Maybank Global CR Day Perkasa Pendidikan Digital Pelajar SMK Santubong
KUCHING: Program Maybank Global CR (Corporate Responsibility) Day 2026 dan Program Cahaya Kasih Challenge 2026–2027 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong memperkukuh usaha menyediakan kemudahan pembelajaran digital yang lebih interaktif kepada para pelajar.
Menerusi program berkenaan, Maybank Wilayah Sarawak menyumbangkan empat unit televisyen pintar (Smart TV) kepada SMK Santubong bagi menyokong keperluan pendidikan digital serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan selaras dengan perkembangan teknologi pendidikan masa kini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kerjasama Maybank bersama Parlimen Santubong bukan perkara baharu apabila bantuan menerusi Program Cahaya Kasih sebelum ini turut disalurkan kepada Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Bandar Baru Samariang pada 2024 dan 2025.
“Dengan adanya Smart TV ini, suasana pembelajaran akan lebih interaktif, menarik dan selaras dengan perkembangan teknologi pendidikan masa kini,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di SMK Santubong, di sini, pada Khamis.
Beliau turut menegaskan pendidikan sentiasa menjadi keutamaan sebagai Ahli Parlimen Santubong kerana pendidikan mampu membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta membantu keluarga membina kehidupan yang lebih baik.
Sementara itu, Dato’ Sri Hajah Nancy berkata, program tanggungjawab sosial korporat seperti yang dilaksanakan Maybank amat bermakna khususnya dalam membantu sekolah yang memerlukan kemudahan pendidikan digital.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Maybank Wilayah Sarawak serta pihak pengurusan dan warga pendidik SMK Santubong atas kerjasama dalam menjayakan program tersebut.-EDISI UKAS