KUCHING: Pertandingan memancing bukan sekadar aktiviti riadah, malah mampu menjadi wadah mengeratkan hubungan dan memperkukuh semangat perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Negara Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, penganjuran pertandingan seperti itu memberi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai kampung dan kawasan perumahan untuk berkumpul, berinteraksi serta mengukuhkan semangat kejiranan dalam suasana santai.
Menurut beliau, penganjuran bersempena Hari Malaysia turut memberi makna istimewa kerana ia mengingatkan masyarakat mengenai pentingnya kerjasama, saling menghormati dan perpaduan dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Pertandingan Memancing Ikan anjuran Persatuan Nelayan Darat Lubok Buaya, Kampung Paya Mebi di sini pada Rabu.
Pada masa sama, Senator Ahmad turut menyeru masyarakat supaya bersama-sama memelihara sungai dan sumber perikanan darat kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi rekreasi, malah sumber makanan dan pendapatan kepada sebahagian komuniti nelayan.
Beliau menambah, usaha menjaga kebersihan sungai dan mengelakkan pencemaran penting bagi memastikan sumber ikan terus terpelihara untuk generasi akan datang.-EDISI UKAS