NGO & Komuniti Perkukuh Jalinan Bersama, Semarak Hari Malaysia
LAWAS: Program Kesihatan Sempena Hari Malaysia menjadi platform menghimpunkan pelbagai pertubuhan dalam aktiviti riadah dan rekreasi bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam amalan hidup aktif.
Program anjuran Biro Kebajikan, Biro Riadah dan Biro Kutipan Derma PERKIM Cawangan Lawas dengan kerjasama Wanita PBB Cawangan Bukit Sari, PERKEP Lawas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) itu berlangsung di Stadium Tertutup Lawas, pada Rabu.
Seramai 60 peserta telah terlibat dalam program berkenaan sekali gus memperlihatkan kerjasama antara pelbagai pertubuhan dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan.
Antara pengisian program ialah senamrobik, mewarna antara kumpulan, Musang Berjanggut dan Kerusi Beracun yang dilaksanakan dalam suasana santai dan meriah.
Aktiviti berkenaan memberi ruang kepada peserta untuk beriadah dan berinteraksi, di samping menjadi medium memperkukuh silaturahim serta semangat kerjasama antara NGO dan komuniti di Lawas.
Program sempena Hari Malaysia itu diharap dapat terus menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sihat serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam komuniti.-EDISI UKAS