Naik Taraf Stadium Sarawak Mendahului Jadual, Kemajuan Cecah 33.65 Peratus
KUCHING: Projek naik taraf dan baik pulih Stadium Sarawak kini mencatat kemajuan fizikal 33.65 peratus, iaitu 2.86 peratus mendahului jadual yang ditetapkan sebanyak 30.79 peratus.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan tersebut menunjukkan pelaksanaan kerja di stadium berkenaan berjalan lebih awal daripada perancangan.
“Bagi Stadium Sarawak, kemajuan sebenar kini 33.65 peratus, iaitu 2.86 peratus mendahului jadual. Sasaran yang ditetapkan ialah 30.79 peratus, manakala kemajuan sebenar sudah mencapai 33.65 peratus.”
“Ini bermakna projek berada lebih awal daripada jadual. Perkara yang lebih baik ialah kontraktor telah menyediakan semua bahan yang diperlukan di tapak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat kemajuan projek naik taraf dan baik pulih Stadium Sarawak di sini, pada Khamis.
Secara keseluruhan, kemajuan projek bagi 11 fasiliti sukan yang sedang dinaik taraf dan dibaik pulih bagi persiapan Sukan SEA 2027 turut berada pada tahap baik, dengan kebanyakannya mendahului jadual.
Fasiliti berkenaan disasarkan siap sepenuhnya selewat-lewatnya Jun 2027, manakala beberapa projek dijangka siap lebih awal, termasuk pada Januari dan penghujung tahun ini.
Perkembangan itu penting bagi memastikan kesemua kemudahan dapat disiapkan lebih awal sebelum Sukan SEA 2027 yang dijadual berlangsung pada September tahun depan, selain memberi ruang mencukupi untuk persediaan akhir dan pengujian fasiliti.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, pihaknya mahu kemudahan yang dinaik taraf terus dimanfaatkan selepas Sukan SEA, termasuk bagi penganjuran acara sukan antarabangsa pada masa akan datang.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat SEA Games Malaysia 2027 bagi Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee, Pengarah JKR Sarawak, Datuk Dr Cassidy Morris, Setiausaha Tetap kepada Kementerian Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak, DZulkarnain Masron, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili, serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan. -EDISI UKAS