Jom Heboh Fun Run Catat Sambutan Awal Menggalakkan
MIRI: Jom Heboh Fun Run 2026 mencatat sambutan awal menggalakkan apabila 80 peratus daripada kuota 1,000 peserta bagi pendaftaran awal telah ditebus menjelang penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak 2026 di Pusat Beli Belah Boulevard bermula 25 hingga 27 September ini.
Acara larian yang berlangsung pada 27 September itu menawarkan dua kategori, iaitu 5 kilometer (5KM) dan 8 kilometer (8KM), dengan yuran pendaftaran awal masing-masing RM50 dan RM70.
Pelepasan bagi kategori 8KM dijadualkan pada 6.30 pagi, diikuti kategori 5KM pada 6.45 pagi, manakala pengambilan race pack diadakan pada 26 September.
Sambutan terhadap Fun Run berkenaan turut memberi gambaran awal terhadap penyertaan masyarakat dalam KJH Segulai Sejalai Sarawak 2026 yang kembali dianjurkan di Miri selepas kali terakhir pada 2007.
Selain aktiviti larian, karnival selama tiga hari itu turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk Konsert Jom Heboh, Studio Tonton Drama Sangat, persembahan etnik, Food Fest, Zumba dan Jom Lokal Jam.
Pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan mewarna, berinteraksi dengan maskot Ejen Ali dan Alicia serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif sepanjang karnival.
Penganjuran KJH Segulai Sejalai Sarawak 2026 dilaksanakan menerusi kerjasama strategik Media Prima Berhad dan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
KJH Segulai Sejalai Sarawak 2026 dijangka menjadi platform yang menghimpunkan masyarakat menerusi pengisian hiburan, rekreasi dan aktiviti komuniti sepanjang penganjuran di Boulevard, Miri.-EDISI UKAS