KUCHING: Persiapan bagi Majlis One-Year Countdown Sukan SEA 2027 kini memasuki fasa akhir menerusi raptai yang diadakan di Pusat Beli-belah The Spring, Kuching, bagi memastikan kelancaran sambutan setahun menjelang temasya berkenaan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Sekretariat Sukan SEA Malaysia 2027 bagi Kluster Sarawak, Datu Hii Chang Kee, turut meninjau persiapan dan raptai tersebut bagi memastikan penyelarasan akhir majlis berjalan lancar.
Majlis yang dijadual bermula pada 7.30 malam pada Jumaat itu menandakan genap setahun menjelang penganjuran Sukan SEA 2027 yang dijadual berlangsung pada September tahun depan.
Sambutan berkenaan dibuka secara percuma kepada orang awam, dengan pelbagai pengisian disediakan termasuk stesen swafoto dan kemunculan maskot rasmi Sukan SEA.
Kehadiran atlet SUKMA turut dijangka memeriahkan sambutan berkenaan, sekali gus menyuntik elemen kesukanan dalam acara kira detik tersebut.
Selain sambutan One-Year Countdown, Laman Web Rasmi Sukan SEA Sarawak turut dilancarkan sebagai platform digital bagi memudahkan orang awam dan media mendapatkan maklumat terkini berkaitan temasya.
Sambutan kira detik secara berskala kecil turut diadakan serentak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan kempen menuju Sukan SEA 2027.
Momentum promosi temasya kemudiannya akan diteruskan menerusi Larian Obor yang akan dibawa ke seluruh Sarawak dalam fasa promosi seterusnya.
Secara keseluruhannya, raptai tersebut menjadi antara langkah akhir bagi memastikan pengisian, penyelarasan teknikal dan perjalanan Majlis One-Year Countdown dapat dilaksanakan dengan teratur menjelang sambutan rasmi setahun menuju Sukan SEA 2027.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak, DZulkarnain Masron dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mu’azamir Jili. -EDISI UKAS