Jerebu Rentas Sempadan Perlu Ditangani Peringkat Persekutuan
KUCHING: Isu jerebu rentas sempadan perlu ditangani di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan fenomena berkenaan berulang setiap tahun dan berpotensi menjejaskan kelancaran penganjuran Sukan SEA serta acara sukan antarabangsa di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jerebu lazimnya berlaku sekitar Ogos dan September, iaitu tempoh yang sama dengan penganjuran Sukan SEA dan acara sukan lain.
“Sarawak hanyalah sebuah negeri dan tidak boleh menangani perkara ini dengan negara jiran. Ia perlu ditangani oleh Kerajaan Persekutuan. Mereka perlu berunding di peringkat tersebut untuk menyelesaikan perkara ini, termasuk meminta pihak berkenaan mengawal keadaan di kawasan mereka supaya kita tidak terus berdepan dengan masalah ini setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat kemajuan projek naik taraf dan baik pulih Stadium Sarawak di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, keadaan jerebu yang berlaku secara berselang-seli tahun ini perlu diberi perhatian memandangkan Sarawak bakal menjadi lokasi penganjuran acara sukan berskala besar.
Katanya, situasi itu boleh menjadi cabaran sekiranya berlaku ketika acara antarabangsa sedang berlangsung.
Beliau berkata, sebagai sebuah negeri, Sarawak tidak boleh menangani isu tersebut secara bersendirian kerana ia turut melibatkan kawasan dan negara jiran, justeru memerlukan tindakan di peringkat Persekutuan.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan keadaan jerebu ketika ini belum menjejaskan kerja-kerja naik taraf dan baik pulih Stadium Sarawak, selagi tiada pengisytiharan kecemasan.
Menurut beliau, bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) di Kuching belum mencapai tahap yang memerlukan kecemasan diisytiharkan, menyebabkan kerja-kerja projek dapat diteruskan seperti biasa.
“Pada masa ini, selagi tiada pengisytiharan kecemasan, kerana indeks API di Kuching masih belum mencapai tahap yang memerlukan kecemasan diisytiharkan, kerja-kerja masih boleh diteruskan. Sekiranya kecemasan diisytiharkan, barulah semua kerja dihentikan. Buat masa ini, saya fikir semuanya berada dalam keadaan baik," tambahnya.
Beliau berkata, keadaan itu turut membolehkan kemajuan kerja projek terus berada pada landasan yang baik, dengan kebanyakannya mendahului jadual.—EDISI UKAS