BCCK 2 Bakal Jadi Venue Sukan Dan Konsert Berskala Besar
KUCHING: Pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching Dua (BCCK 2) yang sedang dibangunkan dengan kapasiti sekitar 9,000 hingga hampir 10,000 orang berpotensi menjadi venue tertutup baharu bagi penganjuran acara sukan dan konsert berskala besar di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kemudahan itu tidak seharusnya dilihat hanya sebagai pusat konvensyen untuk seminar dan persidangan, sebaliknya boleh dimanfaatkan bagi pelbagai acara berskala besar.
“Kapasiti BCCK 2 adalah hampir 10,000 orang, iaitu 9,000 orang atau lebih. Kita perlu melihat dan mengikuti keadaan semasa. Walaupun acara itu berskala besar, jika tiada sambutan atau kehadiran penonton, ia tidak akan memberi manfaat," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat kemajuan projek naik taraf dan baik pulih Stadium Sarawak di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, antara acara yang berpotensi dianjurkan di venue tersebut termasuk tenis, bola keranjang, tinju, Muay Thai dan taekwondo, selain konsert serta pelbagai acara lain.
Beliau berkata, terdapat permintaan daripada artis untuk mengadakan konsert dan pelbagai acara di Sarawak, sekali gus membuka ruang untuk BCCK 2 dimanfaatkan sebagai venue indoor bagi memenuhi keperluan tersebut.
Dalam pada itu, pengurusan kapasiti penonton turut diberi perhatian bagi acara yang dijangka menerima kehadiran tinggi.
Menurut beliau, penjualan tiket boleh dipertimbangkan bagi sukan tertentu seperti bola keranjang, bola tampar dan renang bukan semata-mata untuk menjana pendapatan, tetapi bagi mengawal jumlah penonton dengan lebih teratur.
Jelasnya, pendekatan itu membolehkan kawalan penonton dibuat mengikut kapasiti dan tahap permintaan bagi setiap acara, manakala acara yang tidak menarik jumlah penonton tinggi boleh dipertimbangkan untuk dibuka kepada orang ramai.
Selain kapasiti dan pengurusan penonton, keperluan fasiliti sokongan turut diberi perhatian bagi memenuhi standard penganjuran acara antarabangsa, termasuk bilik perubatan, kemudahan media, ruang VIP, sidang media dan kemudahan anti-doping.
Dato Sri Abdul Karim berkata, pembangunan kemudahan secara lebih menyeluruh penting bagi memastikan Sarawak mempunyai kapasiti venue yang sesuai untuk memenuhi permintaan penganjuran acara sukan, hiburan dan antarabangsa pada masa akan datang.—EDISI UKAS