125 Kilogram Sampah Dikumpul Sempena Aktiviti Pembersihan Pantai Hari Malaysia
MIRI: Sebanyak kira-kira 125 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi aktiviti pembersihan pantai sempena sambutan Hari Malaysia di Luak Esplanade, di sini, pada Rabu.
Program anjuran bersama IEM Young Engineers Section, IEM Curtin Student Section dan Persatuan Masyarakat Tering Miri (PMTM) itu menjadi platform memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar.
Pengerusi IEM Miri Young Engineers Section, Lim Chuan Jet berkata, cuti umum Hari Malaysia menyaksikan kawasan Luak Esplanade menjadi tumpuan keluarga dan pengunjung untuk berkumpul serta menjalankan aktiviti riadah.
Menurutnya, situasi berkenaan memberi peluang kepada pihak penganjur untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan memelihara kebersihan pantai dan alam sekitar.
Dalam pada itu, Dr Yong Leong Kong menegaskan bahawa aktiviti pembersihan pantai bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran sampah, malah menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem marin serta kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata, sebagai sebuah bandar pesisir pantai, tanggungjawab menjaga kebersihan pantai perlu dipikul bersama oleh seluruh warga Miri bagi mengelakkan sampah yang ditinggalkan dibawa ke laut dan menjejaskan hidupan marin.
Aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada IEM Miri Sustainability Month 2026 bertemakan “Engineers at the Heart of Sustainability” dan turut menyokong usaha berkaitan tindakan iklim serta kerjasama
Usaha tersebut turut menekankan kepentingan kempen kesedaran secara berterusan bagi membendung amalan membuang sampah merata-rata serta menggalakkan masyarakat menggunakan kawasan pantai secara lebih bertanggungjawab.-EDISI UKAS