Industri Lada Perlu Beralih Kepada Pendekatan Berasaskan Nilai
SPAOH: Industri lada perlu beralih daripada mengejar jumlah pengeluaran kepada pendekatan berasaskan nilai dengan menekankan kualiti dan identiti lada Sarawak bagi meningkatkan daya saing produk Malaysia di pasaran dunia.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata kejayaan industri lada bukan sahaja bergantung kepada jumlah pengeluaran, tetapi turut dinilai berdasarkan nilai yang diterima pekebun.
“Apabila kualiti memenuhi kehendak pasaran, lada negara boleh dipasarkan dengan nilai yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Kemampanan Industri Lada anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), setiap bantuan dan program kerajaan perlu menghasilkan impak yang jelas kepada pekebun, termasuk dari aspek jenis hasil yang dikehendaki pasaran, tahap kualiti dan nilai yang diperoleh.
Di bawah Program Kemampanan Penanaman Lada, kerajaan menyasarkan pembangunan tanaman lada premium seluas 750 hektar, selain pengurusan 800 hektar tanaman lada matang, ujarnya.
Dalam pada itu, Noraini turut menekankan kepentingan teknologi dan inovasi dalam memastikan industri lada terus berkembang seiring dengan perkembangan semasa.
Katanya, aplikasi ‘Dr. Lada’ dan ‘Nutri Lada’ akan digabungkan di bawah RMK-13 dalam satu platform yang lebih menyeluruh dan mesra pengguna bagi memudahkan pekebun mendapatkan maklumat serta khidmat berkaitan.
“Sekiranya teknologi dapat menjimatkan masa, meningkatkan hasil dan membantu pekebun membuat keputusan dengan lebih tepat, penggunaannya perlu diperluaskan kerana inovasi tidak boleh berhenti sebagai projek perintis atau demonstrasi semata-mata,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Baram yang juga Pengerusi MPB, Dato Anyi Ngau berkata seminar tersebut dianjurkan khusus untuk memberi pendedahan kepada pekebun berkaitan bantuan, teknologi dan inovasi, pengurusan input pertanian serta pemasaran lada.
Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi membantu pekebun mengurus kebun dengan lebih baik, meningkatkan produktiviti dan mengekalkan kualiti hasil.
Dalam majlis sama, MPB memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sarawak Oil Palm Berhad (SOPB) dan Ajimoto (Malaysia) Berhad bagi membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan peluang baharu dalam pembangunan industri lada.
Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Huang Tiong Sii serta Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu.-EDISI UKAS