150 Pekebun Lada Betong Terima Bantuan Berjumlah RM1.2 Juta
SPAOH: Seramai 150 pekebun lada di Betong menerima bantuan berjumlah RM1.2 juta bagi menyokong pengurusan dan pembangunan tanaman lada di kawasan berkenaan.
Bantuan tersebut disampaikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada Majlis Perasmian Seminar Kemampanan Industri Lada di Dewan Masyarakat Spaoh, pada Khamis.
Daripada jumlah tersebut, RM772,000 disalurkan kepada 73 orang pekebun menerusi Bantuan Penanaman Lada Premium, manakala RM430,200 disalurkan kepada 77 orang pekebun bagi kategori Bantuan Pengurusan Tanaman Lada Matang.
Pada majlis sama, turut diserahkan Bantuan Fasiliti dan Kemudahan Ladang berbentuk pelerai lada dan spiral separator, serta Bantuan Pengukuhan Kemudahan Peralatan Ladang melibatkan mesin pemotong rumput dan penyembur cecair bermotor.
Dalam ucapannya, Datuk Amar Douglas Uggah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi atas pelbagai bantuan yang diberikan bagi menyokong pembangunan industri komoditi di Sarawak, termasuk industri kelapa sawit, lada hitam dan koko.
Beliau berkata, industri lada merupakan antara sektor penting yang menyumbang kepada ekonomi Sarawak, namun pekebun kini berdepan peningkatan kos pengeluaran termasuk harga baja masalah penyakit tanaman dan racun perosak.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Perladangan dan Komoditi dapat mempertimbangkan peningkatan bantuan subsidi diesel khususnya kepada golongan pekebun kecil di Betong, selain merangka mekanisme yang sesuai bagi menentukan jenis lada yang sesuai ditanam untuk menjamin kualiti pengeluaran.
Seminar berkenaan turut menyediakan pelbagai taklimat termasuk Program Kemampanan Penanaman Lada (PKPL), Teknologi dan Inovasi Lada serta Kawalan Racun Perosak dan Baja, selain pameran agensi-agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Ahli Parlimen Baram merangkap Pengerusi Lembaga Lada Malaysia Dato Anyi Ngau serta Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu.-EDISI UKAS