Borneo Jazz 2026 Kembali, Perkukuh Kedudukan Miri Hab Pelancongan & Muzik Serantau
KUCHING: Festival Borneo Jazz 2026 kembali dengan pendekatan lebih inklusif dan pelbagai, bukan sahaja menampilkan muzik, malah merangkumi elemen budaya, pelancongan serta komuniti sekali gus memperkukuh kedudukan Miri sebagai hab acara dan pelancongan di utara Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, edisi ke-20 festival itu membawa tema Beyond Jazz yang mencerminkan hala tuju baharu melangkaui persembahan muzik semata-mata.
Menurut beliau, festival berkenaan dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Disember 2026 di Pullman Miri Waterfront, sekali gus menandakan pertama kali ia dianjurkan di pusat bandar Miri.
“Beyond Jazz menggambarkan usaha kita untuk mengembangkan festival ini sebagai platform lebih luas merangkumi muzik, budaya, kreativiti, pelancongan dan komuniti, sambil kekal berakar di Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Festival Borneo Jazz 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, edisi kali ini turut menampilkan 10 kumpulan persembahan dari tujuh negara termasuk Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Jepun, Amerika Syarikat, Australia dan Sweden.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan antara pengisian utama termasuk persembahan artis terkenal tanah air, Dato Zainal Abidin bersama Julian Chan Jazz Orchestra, selain kumpulan antarabangsa seperti Platina Jazz dari Sweden.
Selain konsert utama, festival itu turut diperluaskan dengan penganjuran Borneo Jazz Festival Village yang menawarkan kemasukan percuma dengan pelbagai aktiviti seperti jualan makanan dan minuman, kraf, serta persembahan pentas terbuka.
“Pendekatan ini memberi peluang kepada masyarakat setempat dan pelancong menikmati pengalaman festival secara menyeluruh, termasuk aktiviti seperti larian santai 5 kilometer yang menambah elemen rekreasi dan kekeluargaan,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan festival tersebut dalam merancakkan ekonomi setempat melalui peningkatan kehadiran pelancong, sekali gus memberi manfaat kepada sektor perhotelan, perniagaan dan industri kreatif.
“Acara seperti ini bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh ekosistem pelancongan Sarawak,” ujarnya.
Tiket Festival Borneo Jazz 2026 akan mula dijual pada 3 Oktober ini, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi penganjur.-EDISI UKAS