Kerajaan Sarawak, Persekutuan Perkukuh Libat Urus Penyediaan Belanjawan 2027
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh libat urus dalam proses penyediaan Belanjawan 2027 bagi memastikan keperluan serta keutamaan Sarawak dapat diketengahkan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sesi libat urus bersama delegasi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) itu turut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai perkara yang dekat dengan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk kos sara hidup, perlindungan sosial, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas, selain usaha meningkatkan daya saing, produktiviti serta daya tahan ekonomi.
“Saya menghargai pendekatan libat urus seperti ini kerana ia memberi ruang kepada pandangan, keperluan dan keutamaan Sarawak untuk turut diketengahkan dalam proses penyediaan dasar dan belanjawan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sesi bersama MOF berkenaan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Dato’ Zamzuri Abdul Aziz.
Menurut Datuk Amar Mohamad Abu Bakar kerjasama serta komunikasi yang baik antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Turut hadir Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Datu Hasmawati Sapawi.-EDISI UKAS