Betong Tuan Rumah HSN2026, 33 Aktiviti Sasar 21,000 Penyertaan
BETONG: Bahagian Betong dipilih sebagai tuan rumah Hari Sukan Negara 2026 (HSN2026) Peringkat Negeri Sarawak yang dijadual berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober ini dengan kemuncak sambutan pada 17 Oktober di Dewan Panglima Rentap.
Penganjuran HSN2026 menjadi platform penting dalam membudayakan gaya hidup aktif, sihat dan cergas dalam kalangan masyarakat di samping memperkukuh perpaduan melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.
Bagi Sarawak, pelaksanaan program tersebut dipinda daripada tarikh asal kebangsaan bagi menghormati sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 11 Oktober.
Sebanyak 33 aktiviti dirancang sepanjang penganjuran dengan anggaran penyertaan keseluruhan seramai 21,000 orang, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, belia, wanita, kanak-kanak serta golongan orang kurang upaya (OKU).
Antara program utama pada hari kemuncak ialah Majlis Perasmian HSN2026, Larian Ria Madani 5 kilometer dan Berjalan Ria Madani 2 kilometer yang menyasarkan penyertaan seramai 3,000 orang.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disusun seperti Aerobicthon, pickleball, e-sukan Mobile Legends, dart, memanah, sepak takraw, futsal, street soccer, Walking Football, sukaneka dan permainan tradisional.
Program turut diperkaya dengan komponen kesihatan melalui pemeriksaan dan saringan kesihatan, di samping pameran interaktif agensi kerajaan, pameran industri sukan serta jualan dan keusahawanan belia.
HSN2026 Peringkat Negeri Sarawak bukan sekadar memberi tumpuan kepada jumlah penyertaan, malah menekankan kualiti pelaksanaan, aspek keselamatan serta impak positif kepada masyarakat.
Kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan sukan, sektor swasta dan komuniti dijangka menjadi pemangkin kejayaan penganjuran program berkenaan.-EDISI UKAS