170 Pelajar Kota Samarahan Terima Bantuan Pendidikan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 170 pelajar dari kawasan Parlimen Kota Samarahan yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi menerima bantuan pendidikan menerusi Program P197 Samarahan Prihatin Siri Kedua Tahun 2026.
Daripada jumlah itu, seramai 100 pelajar menerima insentif khas pendidikan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM32,100 sebagai sokongan bagi membantu menampung keperluan sepanjang tempoh pengajian.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memastikan kebajikan serta keperluan pendidikan anak-anak di kawasan Parlimen Kota Samarahan terus diberi perhatian.
Menurut beliau, penerima bantuan perlu memanfaatkan sumbangan tersebut sebaik-baiknya untuk keperluan pengajian, selain terus berusaha mencapai kecemerlangan.
“Tahniah kepada semua anak muda yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Manfaatkan bantuan ini sebaik-baiknya untuk keperluan pengajian dan teruskan usaha mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan Program P197 Samarahan Prihatin Siri Kedua Tahun 2026 di Dewan Serbaguna, Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Khamis.
Dalam pada itu, Datuk Hajah Rubiah turut menggalakkan golongan pelajar memberi perhatian terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) yang semakin penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
Katanya, penguasaan dalam bidang berkenaan penting bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing, sekali gus mampu menyumbang kepada agenda pembangunan Sarawak.
Beliau berkata, pengagihan bantuan pendidikan secara berfasa turut mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan pelajar, di samping membantu meringankan beban kewangan keluarga.
“Pelaburan dalam pendidikan anak-anak merupakan satu usaha penting untuk membina masa depan masyarakat dan seterusnya menyokong pembangunan sosioekonomi kawasan Kota Samarahan,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari dan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Dr Noraini Omar.-Edisi UKAS