123 Pertubuhan Kota Samarahan Terima Suntikan RM860,000
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 123 jawatankuasa dan pertubuhan di kawasan Parlimen Kota Samarahan menerima suntikan peruntukan berjumlah RM860,000 menerusi Geran Khas Ahli Parlimen sempena Program P197 Samarahan Prihatin Siri Kedua Tahun 2026.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, peruntukan berkenaan disalurkan bagi membantu jawatankuasa dan pertubuhan di peringkat akar umbi melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta riadah.
Menurut beliau, setiap penerima perlu memastikan peruntukan berkenaan dimanfaatkan sebaik mungkin mengikut tujuan permohonan, selain mengutamakan aspek tadbir urus yang baik.
“Gunakan peruntukan ini sebaik mungkin mengikut tujuan permohonan. Peruntukan ini adalah satu amanah yang dipulangkan semula kepada masyarakat untuk mengukuhkan perpaduan serta mengeratkan silaturahim sesama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program P197 Samarahan Prihatin Siri Kedua Tahun 2026 di Dewan Serbaguna, Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Khamis.
Datuk Hajah Rubiah turut mengingatkan semua penerima supaya mengemukakan laporan kepada Pusat Khidmat Samarahan selepas sesuatu aktiviti selesai dilaksanakan bagi memastikan penggunaan peruntukan dapat dipantau dengan baik.
Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan sembilan agensi pembangunan di Sarawak termasuk Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) membantu mempercepatkan pelaksanaan pembangunan fizikal dan sosioekonomi di kawasan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi projek peningkatan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari dan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Dr Noraini Omar.-Edisi UKAS