TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Ketua Pengarah Kastam Malaysia
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Kastam Malaysia Dato' Sri Amran Ahmad di Astana Negeri Sarawak, di sini, pada Khamis.
Kunjungan hormat itu bertujuan memperkenalkan diri susulan pelantikan Dato’ Sri Amran sebagai Ketua Pengarah Kastam pada 9 Mac 2026.
Pada pertemuan tersebut, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Sri Amran dan turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan JKDM dalam membanteras penyeludupan dadah di pintu masuk negara.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dan penerapan nilai murni dalam membentuk generasi muda daripada ancaman dadah.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berharap aset dan kelengkapan yang bersesuaian terus diperkasa bagi menyokong kecekapan serta keselamatan warga JKDM ketika menjalankan tugas.
Hadir sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Ghazali Hizam, Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Norizan Yahya serta Penolong Kanan Ketua Pengarah 1 JKDM Saimah Ambikin.-EDISI UKAS