JIWA@Komuniti Semarak Patriotisme, Perkukuh Hubungan Sekolah Dan Komuniti
SIMANGGANG: Program JIWA@Komuniti sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 menjadi wadah menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan, sekali gus memperkukuh hubungan antara warga sekolah dengan komuniti setempat.
Program yang diadakan bersempena Pentarama X Homecoming Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing Sri Aman itu turut memberi ruang kepada murid menghayati sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia serta menghargai jasa tokoh terdahulu.
Guru Besar SK Abang Aing, Mohd Nurmisuari Qazreen Shamsuddin berkata, semangat kemerdekaan dan pembentukan Malaysia bukan sekadar diraikan menerusi acara dan simbolik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kebersamaan, kepedulian serta kesediaan untuk menyumbang kepada komuniti.
Menurut beliau, semangat komuniti perlu dibina berasaskan rasa memiliki, saling menghormati, membantu dan bekerjasama tanpa mengira perbezaan.
“Nilai-nilai inilah yang menjadi asas kepada pembentukan sebuah masyarakat yang harmoni, bersatu dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program JIWA@Komuniti sempena Sambutan HKHM 2026 di SK Abang Aing Sri Aman, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah bukan sahaja berperanan mendidik murid dalam aspek akademik, malah bertanggungjawab membentuk generasi yang mempunyai jati diri, nilai murni, semangat patriotisme serta keprihatinan terhadap masyarakat.
Program bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ itu turut dimeriahkan dengan Pertandingan Keceriaan Kelas Bertemakan Bulan Kemerdekaan melibatkan kategori Kelas Khas, Tahap 1 dan Tahap 2.
Pra Tekun muncul juara bagi Kategori Kelas Khas, manakala Kelas 2 Jaya memenangi Kategori Tahap 1 dan Kelas 5 Tekun mengungguli Kategori Tahap 2.
Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Safaliza Bujang.-EDISI UKAS