Betong Jadi Tuan Rumah Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Sarawak
BETONG: Betong bakal menjadi lokasi pelaksanaan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Sarawak yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari dari 16 hingga 18 Oktober 2026.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, sambutan tersebut akan melibatkan pelbagai aktiviti sukan dan program sampingan dengan kemuncak sambutan pada 17 Oktober.
Menurut beliau, lebih 30 aktiviti akan dianjurkan sepanjang tiga hari sambutan termasuk larian, futsal, bola sepak, badminton, pickleball, sepak takraw dan bola jaring, selain pameran agensi serta penglibatan usahawan belia.
“Kita mengharapkan masyarakat di Betong sama-sama datang untuk meraikan dan bersama-sama bersukan bagi meningkatkan kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat. Pada masa yang sama, aktiviti ini dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan yang lebih harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana HSN 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, Khamis.
Datuk Gerald berkata, pelaksanaan HSN peringkat Sarawak ditetapkan seminggu selepas tarikh sambutan peringkat kebangsaan yang jatuh pada 10 Oktober 2026 bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Beliau menjelaskan, HSN 2026 bukan sahaja bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan meningkatkan tahap kesihatan, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Datuk Gerald turut mengingatkan jawatankuasa pengelola supaya terus berkoordinasi dan bekerjasama antara satu sama lain bagi memastikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau berkata aspek keselamatan dan pergerakan orang awam turut diberi perhatian, khususnya dalam penentuan venue serta susun atur program bagi memastikan keselamatan peserta dan orang ramai sepanjang sambutan berlangsung.
HSN 2026 Peringkat Sarawak akan berpusat di Dewan Panglima Rentap, Betong dengan acara teras merangkumi Majlis Perasmian HSN 2026 Peringkat Negeri Sarawak, Larian Ria Madani dua kilometer (KM) dan Berjalan Ria Madani dua KM.
Sebanyak 33 aktiviti sampingan dicadangkan sepanjang tempoh sambutan dengan sasaran kira-kira 21,000 penyertaan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau, Timbalan Residen Bahagian Betong Muhammad Nizam Wang, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Fatimah Abdul Rahman dan Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong Nurulzamzam Shafiie.-EDISI UKAS