Pertanian Komersial Diperkasa Tingkat Pendapatan Masyarakat Batang Ai
LUBOK ANTU: Usaha meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar melalui aktiviti pertanian moden dan berorientasikan komersial perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mempelbagaikan sumber ekonomi penduduk.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen berkata, masyarakat perlu meneroka pelbagai projek ekonomi berpotensi pasaran dan tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.
Menurutnya, penggunaan teknologi baharu termasuk telefon pintar secara bijak boleh membantu masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan pertanian, mempelajari teknologi pengeluaran serta meneroka peluang pemasaran secara digital.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Agriculture Outreach Programme (AGRICOP) 2026 anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman di Rumah Machau Seman, Nanga Kumpang, pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengembangan, Jabatan Pertanian Sarawak, Freddy Paul Giang berkata, AGRICOP memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pengurusan dan pengusahaan pertanian secara moden serta komersial.
Menurutnya, program berkenaan turut memperkenalkan potensi tanaman kopi Arabica, kelapa sawit dan terung asam sebagai antara bidang yang boleh diterokai masyarakat bagi meningkatkan pendapatan.
Beliau berkata, peserta turut akan didaftarkan dengan platform e-Tani bagi memudahkan penyampaian maklumat, bimbingan serta akses kepada kemudahan berkaitan sektor pertanian.
Dalam pada itu, komuniti Nanga Kumpang kini turut meneroka penanaman kopi Arabica sebagai salah satu usaha mempelbagaikan sumber pendapatan penduduk.
Bagi menyokong pembangunan komuniti setempat, beberapa peruntukan turut diluluskan, termasuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP) RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM10,000 kepada Biro Wanita Nanga Kumpang.
Turut diluluskan ialah Projek Tarnsformasi Luar Bandar (RTP) RM200,000 bagi tahun 2026 untuk JKKK Nanga Kumpang serta MRP RM20,000 kepada Persatuan Ketua Kaum Zon 6.
Dalam bidang pendidikan pula, Datuk Dr Malcolm memaklumkan peruntukan Batang Ai Education Fund daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM500,000 bagi memperkukuh sokongan pendidikan anak-anak di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS