Jambatan Besi Batang Layar Dijangka Dibuka Semula Esok
BETONG: Jambatan Besi Batang Layar yang sebelum ini ditutup bagi kerja-kerja pembaikan dijangka dibuka semula kepada pengguna awam pada Sabtu, 19 September 2026.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Profesor Dr Cassidy Moris berkata, Jambatan Besi Batang Layar telah ditutup sejak dua minggu lalu berikutan kerosakan yang memerlukan kerja-kerja pembaikan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya masyarakat Betong yang menggunakan jambatan tersebut sebagai laluan harian.
Katanya, kerja-kerja pembaikan kini berada pada fasa akhir dan dijangka dapat disiapkan pada petang Jumaat sebelum jambatan tersebut dibuka semula kepada orang awam.
“Namun demikian, jambatan ini dicadangkan hanya untuk kegunaan kenderaan kecil sahaja berikutan keadaan struktur jambatan yang sudah berusia.
“Kenderaan berat dinasihatkan menggunakan laluan alternatif lain bagi pergerakan keluar dan masuk ke Betong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak kerja-kerja membaik pulih jambatan berkenaan pada Jumaat.
Lawatan tersebut turut disertai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa JKR Bahagian Betong akan menjalankan pemeriksaan keselamatan akhir terhadap jambatan berkenaan sebelum pembukaan semula bagi memastikan ia selamat digunakan oleh orang awam.
Pembukaan semula jambatan tersebut dijangka dapat memudahkan pergerakan penduduk setempat serta pengguna jalan raya, khususnya masyarakat di dalam dan luar kawasan Betong.
Turut hadir, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong Jason Boon Ng Tuan dan wakil Pegawai Daerah Betong Kato Dorsie. -EDISI UKAS