STOLPort Bebuling Buka Potensi Ekonomi Baharu Betong
SPAOH: Penerbangan percubaan di STOLPort Bebuling pada Jumaat berjalan lancar, menandakan kemudahan berkenaan semakin hampir membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan udara serta merancakkan aktiviti ekonomi di Bahagian Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kejayaan penerbangan percubaan itu menjadi asas kepada perbincangan lanjut bagi menentukan tarikh operasi penerbangan komersial di STOLPort berkenaan.
Menurutnya, tarikh penerbangan komersial masih belum ditetapkan dan hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk dari aspek operasi, keselamatan dan penyelenggaraan.
“Secara praktiknya, penerbangan percubaan ini sudah selesai dan berjalan dengan lancar. Kita amat gembira kerana hari ini kita dapat melihat lapangan terbang ini digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di media sosial, pada Jumaat.
Tambah Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu lagi, STOLPort Bebuling yang dibangunkan dengan kos RM248.03 juta itu mempunyai landasan sepanjang 1.119 kilometer dan berkeupayaan menerima pesawat seperti King Air.
Lebih penting, katanya, kemudahan tersebut tidak hanya dilihat sebagai infrastruktur untuk pergerakan penumpang, malah mempunyai potensi besar sebagai pusat pengendalian kargo bagi menyokong sektor pertanian dan industri di kawasan sekitar.
“Di hadapan terminal ini terdapat pusat pembungkusan, manakala di belakangnya terdapat Agro Park seluas kira-kira 1,000 hektar. Ini memberi potensi besar kepada kita untuk membawa hasil pertanian ke pasaran luar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menambah, potensi itu akan menjadi lebih besar dengan kedudukan strategik STOLPort berkenaan, khususnya apabila Jambatan Batang Lupar II siap kelak, yang dijangka meningkatkan akses dari kawasan sekitar Batang Lupar ke Betong.
Dalam masa sama, beliau melihat kemudahan itu mampu menjadi pintu masuk baharu bagi memperkukuh industri pelancongan Betong dengan memudahkan pelancong mengakses pelbagai tarikan di kawasan berkenaan dan sekitarnya.
Antara produk yang berpotensi diketengahkan termasuk replika Kubu Rentap di Bukit Sadok, rumah panjang berusia lebih 100 tahun serta destinasi pelancongan di Kabong dan Batang Ai.
“Perjalanan udara dari Kuching ke Bebuling hanya mengambil kira-kira 15 minit berbanding sekitar tiga jam melalui jalan darat,” katanya.
Beliau berkata aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan sebelum STOLPort Bebuling dibuka sepenuhnya untuk penerbangan komersial.
Menurutnya, set peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) telah disediakan bagi memastikan operasi penerbangan dilaksanakan dengan selamat, selain kemudahan bomba turut disediakan di lapangan terbang tersebut.
Katanya, perbincangan lanjut berkaitan keselamatan, operasi dan penyelenggaraan akan diteruskan sebelum proses pelesenan serta operasi komersial dimuktamadkan.
Sehubungan itu, Datuk Amar Douglas Uggah berharap STOLPort Bebuling bukan sekadar menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui pengembangan sektor pertanian, pengendalian kargo, industri dan pelancongan.
“Apabila Premier mengumumkan pembinaan lapangan terbang ini dahulu, kita tertanya-tanya apa kegunaannya. Tetapi hari ini ia menjadi jelas bahawa kemudahan ini boleh menggerakkan aktiviti ekonomi, pengeluaran dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya lagi. -EDISI UKAS