Sarawak Sasarkan Pendapatan Isi Rumah ‘Median’ RM15,000
SIBU: Kerajaan Sarawak menyasarkan peningkatan pendapatan isi rumah ‘median’ kepada RM15,000 bagi sesebuah keluarga menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, penunjuk berkenaan digunakan dalam PCDS 2030 kerana ia melambangkan tahap kesejahteraan dan taraf hidup sebenar rakyat berbanding penggunaan nilai purata.
"Mengikut kajian ekonomi, penunjuk yang lebih tepat untuk mengukur kesejahteraan rakyat ialah ‘median household income’, bukannya purata. Purata dihitung dengan mencampurkan semua gaji dan membahagikannya dengan jumlah orang.
"Manakala median melihat kepada nilai tengah, iaitu 50 peratus daripada rakyat mendapat pendapatan di atas nilai tersebut dan 50 peratus lagi mendapat kurang daripada nilai berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Serahan Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan) Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (ICU JPM Sarawak) Zon Sibu Tahun 2026, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Annuar memaklumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita Sarawak kini berada pada paras RM73,784 iaitu melebihi kadar nasional RM59,186, sekali gus dikategorikan oleh Bank Negara Malaysia sebagai wilayah berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kejayaan pencapaian KDNK per kapita Sarawak perlu disulami dengan usaha berterusan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat secara khusus.
Hal ini kerana, pendapatan isi rumah penengah bagi Sarawak buat masa ini masih berada pada kadar RM5,504.
"Jadi kita masih berusaha untuk memastikan sasaran PCDS 2030 tercapai, dan usaha yang dilakukan oleh ICU JPM Sarawak hari ini merupakan langkah terbaik ke arah itu," katanya.
Sementara itu, seramai 36 Ahli Isi Rumah (AIR) berstatus miskin yang terdiri daripada pelajar dan alumni Kolej Vokasional Sibu (KVS) menerima bantuan peralatan bernilai RM180,000 menerusi program berkenaan.
Bantuan secara one-off itu merupakan sebahagian daripada peruntukan Fokus Peningkatan Pendapatan berjumlah RM1.375 juta yang dilaksanakan di seluruh Sarawak.
Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (ICU JPM Sarawak) Zon Sibu dalam kenyataan media memaklumkan bantuan berkenaan disasarkan kepada AIR yang berdaftar dalam sistem eKasih.
Hadir sama, Pengarah ICU JPM Sarawak Dato Jasni Jubli, Timbalan Pengarah Akademik Kolej Vokasional Sibu Ling Tiong Yung dan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Lau Ngie Tung. -EDISI UKAS